JAKARTA, 14 Dis: Tourism Malaysia (TM) Jakarta menyasarkan 4.37 juta warga Indonesia mengunjungi Malaysia pada tahun 2025.
Pengarahnya Hairi Mohd Yakzan optimis sasaran tahun hadapan bakal meningkat berbanding tahun ini berikutan rekod kemasukan tiga juta rakyat Indonesia memasuki Malaysia sehingga Oktober lalu dan berbaki dua bulan lagi untuk mencapai sasaran.
Beliau menyifatkan pencapaian itu hasil pelancaran laluan penerbangan baharu, pelbagai aktiviti promosi yang berkesan dan kerjasama padu dengan agensi pelancongan di seluruh negeri dalam Malaysia.
Dalam pada itu, Hairi mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada agensi negeri seperti Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) atau agensi pelancongan dari negeri lain yang akan dijalankan di sini tahun depan.
Selain itu, bagi menggalakkan lagi promosi di Indonesia, TM Jakarta turut bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Indonesia, ASTINDO dan ASITA, untuk meneroka pelbagai tawaran, pakej pelancongan yang menarik, dan produk pelancongan berkualiti untuk rakyat Indonesia.
Dengan kerjasama sedia ada, TM Jakarta juga akan mengadakan pelbagai pameran pelancongan bagi menarik minat pasaran Indonesia pada masa hadapan.
Kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi membuka lebih banyak laluan ke pelbagai destinasi di Malaysia juga giat dijalankan. – TVS