MIRI, 13 Dis: Satu rangka manusia tanpa identiti telah dijumpai di kawasan semak di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi mengesahkan penemuan rangka tersebut sekitar jam 5 petang.
Menurutnya, polis telah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berhubung penemuan beberapa batang tulang dipercayai rangka manusia yang tidak sempurna di sebuah kawasan semak di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.
“Berikutan itu, sepasukan polis digerakkan ke tempat kejadian dan menjumpai beberapa tulang serta tengkorak dalam keadaan berkelompok dipercayai rangka manusia.
“Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan setakat ini, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.
“Siasatan awal di tempat kejadian juga menunjukkan tiada apa-apa unsur jenayah,” katanya.
Sehubungan itu kata Alexson, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga, saudara-mara dan rakan yang hilang, boleh tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.-TVS