Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain Harimau Malaya ketika perlawanan Malaysia menentang Timor-Leste di Stadium Nasional. Foto FAM

Danial Amier, Wilkin optimis Harimau Malaya mampu beri saingan kepada Thailand

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Pemain tengah pasukan negara Muhammad Danial Amier Norhisham optimis Malaysia mampu memberikan saingan sengit kepada juara bertahan Thailand pada perlawanan ketiga Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Bangkok, Sabtu ini.

Muhammad Danial atau lebih dikenali Danial Amier berpandangan tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kejutan seperti yang hampir dilakukan pasukan kerdil Timor-Leste ketika tumpas 2-3 di tangan skuad Harimau Malaya pada aksi kedua kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pemain Kuching City FC itu bagaimanapun berkata setiap pemain perlu lebih agresif dan menunjukkan keghairahan untuk melakar kemenangan.

“Kita tahu akan berdepan pasukan lebih baik, tiada yang mustahil dalam bola sepak. Sama macam Timor-Leste Jadi kita kena bagi 100 peratus untuk perlawanan akan datang.

“Kita kena lebih agresif dan perlu bersungguh-sungguh untuk bagi yang terbaik bersama pasukan negara, kita perlu belajar dan perbaiki kelemahan supaya dapat bermain lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas aksi Malaysia menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, di sini.

Pada perlawanan semalam, penyerang naturalisasi Paulo Josue muncul wira pasukan negara apabila meledak dua gol pada babak kedua permainan untuk mengubah kedudukan selepas Timor-Leste yang merupakan pasukan di ranking ke-196 dunia mendahului 2-1 di separuh masa pertama.

Malaysia membuka tirai jaringan menerusi penyerang Muhammad Syafiq Ahmad sebelum Timor-Leste menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat di hujung separuh masa pertama masing-masing satu menerusi Olagar Xavier dan ketua pasukan Joao Pedro pada masa kecederaan.

Sementara itu, pemain tengah Stuart Wilkin berkata pasukan negara hanya mempunyai satu misi di Bangkok iaitu untuk membawa pulang keputusan positif.

“Saya fikir kita pergi ke sana (Thailand) dan mencatat keputusan positif. Kami tahu ia bukan tempat yang mudah untuk bermain, jadi satu keputusan yang positif. Seri atau menang adalah keputusan yang kami mahukan tetapi kami tahu ia tidak mudah.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, kami tahu bahawa Thailand sangat kuat. Jadi kami akan melihat video mulai hari ini (perlawanan semalam) dan bahagian yang boleh kami perbaiki, kami perlu mempunyai strategi permainan untuk pergi ke sana,” kata pemain Sabah FC itu.

Malaysia, juara edisi 2010 kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan Thailand dan Singapura yang masing-masing baru bermain satu perlawanan di posisi kedua dan ketiga, diikuti Kemboja keempat (satu mata) dan Timor-Leste tercorot tanpa sebarang mata. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan