KUALA LUMPUR, 11 Dis: Semua bas dalam kategori pemasangan tempatan (CKD) wajib dilengkapi dengan peranti penghad kelajuan mulai 1 Januari 2026 melalui prosedur kelulusan jenis kenderaan (VTA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan kerajaan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil. 3/2024 yang dipengerusikan beliau hari ini.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan pematuhan had laju dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan komersial.
“Statistik sehingga November 2024 menunjukkan sebanyak 5,939 kematian akibat nahas jalan raya dengan purata 18 kematian sehari, dengan 4,014 daripadanya adalah pengguna motosikal.
“Penyebab utama kemalangan maut antaranya adalah kecuaian sendiri melibatkan 1,667 kes, cuai keluar/masuk simpang jalan susur (690 kes), diikuti cuai memotong atau menukar laluan (525 kes), dan lain-kain (419 kes),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, data tersebut memperlihatkan kepentingan penguatkuasaan undang-undang dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya.
“Kerajaan juga memberi perhatian serius kepada trend kemalangan yang meningkat berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah.
“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi dengan melaksanakan kajian menyeluruh yang diterajui MIROS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pada mesyuarat itu sebanyak RM463 juta telah diluluskan bagi tujuan pelaksanaan pelbagai inisiatif menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.
“Fokus utama adalah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang dan bandar-bandar utama.
“Antaranya, Prasarana Malaysia Berhad telah memperkenalkan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) sejak Jun 2024 untuk meningkatkan kesalinghubungan awal dan akhir perjalanan,” katanya- TVS.