KUCHING, 11 Dis: Sebanyak empat projek pembangunan gereja dengan kos berjumlah keseluruhan berjumlah RM800,000 diluluskan Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR), kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Timbalan Premier Sarawak itu mendedahkan kesemua projek gereja tersebut dibangunkan dengan saranan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini.
Uggah berkata peruntukan terbabit merupakan sebahagian daripada dana yang disalurkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada UNIFOR bagi 2024.
“Pagi ini saya bagi pihak Kerajaan Sarawak dan bagi pihak UNIFOR menyerahkan empat keping cek dan cek itu adalah kelulusan bagi projek kepada empat gereja.
“Permohonan ini dimajukan oleh Tun kepada UNIFOR dan selepas dibuat penilaian maka kita dapat memberi empat projek kepada empat cek,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak di Kuching pada Rabu.
Empat gereja yang menerima peruntukkan daripada UNIFOR adalah Chapel Saint Michael, Kampung Paon, Lundu, Chapel Saint Matthew, Kampung Titika, Lundu, Gereja Saint Thomas, Kampung Sedaing, Lundu dan Saint Francis Church, Lundu.
Projek tersebut masing-masing diberikan peruntukkan sebanyak RM200,000 mengikut keperluan seperti bina baru, baik pulih dan juga membeli kelengkapan gereja. -TVS