Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah menggerakkan seluruh jentera bagi menghadapi musim banjir dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi. Foto hiasan Envato

Lebih 7,000 anggota pelbagai agensi siap sedia hadapi banjir di Sarawak

ByMuqri Aziz

KUCHING, 10 Dis: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menggerakkan seluruh jentera bagi menghadapi musim banjir dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Seramai 7,507 anggota dari pelbagai agensi, bersama aset-aset kritikal diarahkan bersiap sedia untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terjamin.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat JPBNS, hari ini. Foto Muqri Aziz (TVS)

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua agensi terlibat telah menunjukkan semangat tinggi dalam memastikan persiapan rapi dan beliau berpuas hati dengan kesiapsiagaan mereka.

“Dari segi kekuatan anggota, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai 1,406 anggota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 1,462 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 2,759 anggota, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak melibatkan 1,880 anggota.

“Jumlah keseluruhan anggota yang digerakkan di seluruh Sarawak adalah 7,507,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBNS di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Uggah yang juga Pengerusi JPBNS turut menyatakan bahawa aset-aset kritikal telah disediakan bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Antara aset yang disediakan ialah 214 bot, tiga jet ski, 263 kenderaan pacuan empat roda, 78 lori, 32 ambulans, 152 motosikal, dua bas, empat helikopter dan 15 dron.

“Selain itu, kita juga mempunyai 31 Pangkalan Hadapan Bencana (PHB) di seluruh Sarawak, satu Depoh Simpanan Bencana di Kota Samarahan serta dua mini Depoh Simpanan Bencana.

“Ini penting untuk menyimpan bekalan makanan yang dapat diagihkan dengan segera sekiranya berlaku bencana,” jelasnya yang turut mendedahkan bahawa sebanyak 661 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti dan disediakan.

Dalam pada itu, bagi memastikan tindak balas pantas, Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengemas kini sistem telemetri amaran banjir serta memperbaiki kemudahan berkaitan.

“Amaran awal amat penting. Dengan sistem ini, kita dapat memaklumkan kawasan yang berisiko lebih awal dan menggerakkan bantuan dengan segera,” tambahnya.

JPBNS juga mengukuhkan kerjasama dengan agensi kebajikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap pangkalan hadapan dan PPS.

Langkah tersebut termasuk pembukaan Depoh Simpanan Bencana strategik untuk mempercepatkan pengagihan bantuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan