KUALA LUMPUR, 10 Dis: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menentukan kenaikan premium insurans kesihatan tidak akan terlalu tinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ini supaya perkara itu tidak akan menimbulkan pelbagai masalah kepada pesakit dan masalah peningkatan inflasi.
“Berbalik kepada soalan pokok iaitu tentang premium insurans yang meningkat, kita (kerajaan) faham ada sedikit peningkatan dengan alasan munasabah yang diberikan tetapi harus dikawal.
“Maklumat terakhir oleh BNM dan KKM (memberi jaminan) bahawa mereka akan menentukan ada kawalan,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan- Pulai) yang meminta beliau menyatakan langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikkan premium insurans perubatan antara 40 peratus hingga 70 peratus dan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus pada 2023 iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata BNM bersama Perbendaharaan Malaysia serta KKM sedang meneliti dan akan mengeluarkan panduan yang tegas supaya insuran kesihatan dan perubatan terkawal dengan mengambil kira beberapa aspek.
“Pertama, (saya) nak jelaskan bahawa kenaikan ini adalah bersandarkan ambang yang lebih rendah di Malaysia dan kos perubahan yang tinggi dan kos perkhidmatan yang tinggi, itu penjelasan daripada syarikat insurans.
“Walau bagaimanapun, KKM dan BNM sedang menyelaraskan supaya kenaikan itu dianggap munasabah dan tidak membebankan,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan kerajaan akan memperkenal sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) pada awal tahun depan bagi mengawal selia kenaikan kos perubatan terutama di hospital swasta.
Jelas beliau KKM telah diarahkan untuk menyegerakan penetapan kaedah pelaksanaan DRG.
Jelas beliau, setakat ini tiada kawalan atau dasar dalam menyelaraskan kos perubatan di Malaysia.
“Kerajaan rujuk kepada pakar dan dia tentukan, tetapi ada garis panduan yang disebut DRG tentang apakah munasabah kos untuk pengimejan resonans magnet (MRI) dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang ditentukan, jadi ini harus dikawal,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, terdapat juga kemungkinan untuk meminda akta berkaitan bagi memastikan kos ubat dapat dikawal dan tidak membebankan rakyat.
Mengenai isu monopoli ubat oleh syarikat syarikat farmaseutikal gergasi, Anwar menegaskan perjara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Malaysia dikenakan sehingga RM5,000 kerana kawalan yang tidak ketat dan monopoli tetapi untuk Thailand RM1,500 untuk ubat yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat swasta untuk menjalankan pembelian ubat secara pukal seperti yang dilaksanakan oleh KKM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar dapat mengurangkan kos sebanyak 20 hingga 25 peratus. -TVS