KOTA SAMARAHAN, 9 Dis: Sebanyak 651 harta intelek Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah didaftarkan di dalam Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sehingga kini.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata menerusi kerjasama universiti berkenaan dengan MyIPO, ia berpotensi melonjakkan jumlah harta intelek dari penyelidik dan pelajar institusi tersebut didaftarkan sekali gus melindungi harta intelek terbabit daripada ditiru.
Pada masa sama ia turut membolehkan potensi harta intelek itu dibangunkan dan dikomersilkan sama ada di peringkat tempatan atau global.
“Dengan adanya kerjasama ini kita akan dapat mendaftarkan harta intelek kita dan seterusnya memangkinkan lebih usaha kita untuk bekerjasama dan melahirkan produk yang inovasi yang lebih tinggi nilainya bukan sahaja dari segi dalam negara malahan luar negara.
“Itu impian kita, jadi dengan itu kita berharap kerjasama yang lebih erat ini kita akan dapat bersama menghasilkan produk yang bernilai tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU Antara Program Teknologi and Inovation Support Center (TISC) UNIMAS dan MyIPO di sini, hari ini.
MoU tersebut adalah bagi mentakrifkan prosedur bagi penubuhan Rangkaian TISC di Malaysia dengan UNIMAS bertujuan untuk mengembangkan jaringan ke pusat yang menyediakan sokongan serta perkhidmatan kepada pencipta, penyelidik dan usahawan.
Ahmad Hata berkata, dengan sokongan daripada TISC, pereka cipta akan lebih mudah mengakses maklumat tentang pasaran antarabangsa dan peraturan harta intelek di luar negara.
Pada masa sama membantu pemilik harta intelek terlibat untuk melindungi ciptaan mereka di peringkat global dan memanfaatkan peluang eksport dan kerjasama antarabangsa. – TVS