KANOWIT, 8 Dis: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam dijumpai dalam keadaan selamat oleh pasukan SAR hari ini.
Mangsa Lai Juing, 75, ditemui kira-kira tujuh kilometer dari rumah panjangnya pada jam 4.42 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, operasi pencarian hari kedua melibatkan radius seluas satu kilometer.
“Operasi pencarian dibahagikan kepada empat kumpulan dengan menggunakan kaedah ‘fan searching untuk mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sejurus penemuan itu, lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada anggota keluarga sebagai tindakan lanjut
Selain bomba, operasi turut dibantu seramai tujuh anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Susulan itu, operasi ditamatkan pada jam 5.30 petang.
Lai yang berasal dari Rumah Andrian Sungai Ranan dilaporkan hilang selepas pergi ke kebunnya, semalam.
Bimbang dengan keselamatan lelaki itu, anggota keluarganya tampil membuat laporan sebelum operasi SAR dilancarkan. – TVS