Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi perspektif itu semasa pertemuan dengan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala semasa lawatan pertamanya ke Malaysia. Foto Anwar Ibrahim (FB)

Malaysia gesa pembaharuan WTO bagi kembalikan keadilan, keselamatan dalam perdagangan global

ByBernama

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Malaysia menekankan keadilan dan keselamatan dalam perdagangan global dan menggesa pembaharuan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk memulihkan mekanisme penyelesaian pertikaian dan menggalakkan dialog inklusif untuk menangani kebimbangan terutamanya daripada negara membangun.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi perspektif itu semasa pertemuan dengan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala semasa lawatan pertamanya ke Malaysia dari 6 Disember hingga 8 Disember, 2024.

Lawatan ini telah diselaraskan dan dihoskan oleh MITI.

Semasa pertemuan berlangsung, kementerian berkata Anwar dan Dr Okonjo-Iweala turut membincangkan cabaran utama geopolitik dan perdagangan global, termasuk pertambahan perlindungan perdagangan dan kelemahan sistem penyelesaian pertikaian telah menjejaskan kredibiliti WTO dalam memastikan keadilan dan keselamatan terhadap perdagangan global.

Sementara itu, semasa pertemuannya dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, perbincangan tertumpu kepada komitmen Malaysia untuk memelihara kredibiliti WTO dan memacu agenda pembaharuannya.

MITI berkata Tengku Zafrul menegaskan semula fokus kementeriannya untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dinamik sambil memastikan perdagangan global kekal inklusif dan mampan.

Beliau juga menggesa WTO memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong akses saksama kepada teknologi hijau, pembiayaan iklim dan pembinaan kapasiti bagi negara membangun.

Menteri itu berkata Malaysia komited untuk menegakkan prinsip sistem perdagangan pelbagai hala (MTS).

“Sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada perdagangan, kami mengiktiraf kepentingan untuk memupuk persekitaran perdagangan global yang adil dan inklusif yang memberi manfaat kepada semua negara, terutamanya dalam landskap geopolitik yang kompleks hari ini.

“MITI akan terus bekerjasama rapat dengan WTO dan rakan kongsi antarabangsa yang lain untuk memastikan MTS berkembang bagi menghadapi cabaran abad ke-21,” tambahnya.

Menteri itu juga menekankan kesediaan Malaysia untuk memanfaatkan jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025 bagi menyokong kestabilan perdagangan serantau dan global.

MITI berkata Ketua Pengarah WTO turut mengiktiraf kepimpinan proaktif Malaysia di bawah Perdana Menteri, yang mana kedudukan negara ini sebagai negara kuasa pertengahan memberikannya keupayaan unik untuk merapatkan jurang antara rantau ekonomi utama.

Dalam memacu pembaharuan yang bermakna di WTO, beliau mengakui kepentingan untuk melindungi MTS dalam memastikan kestabilan perdagangan global.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau melahirkan harapan Malaysia akan dapat memimpin rantau ini dalam menyokong usaha ke arah Pembaharuan WTO, kata kementerian itu.

Dalam perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan, pelbagai topik telah disentuh seperti cabaran yang dihadapi ekonomi bersepadu dalam dunia yang semakin bertelagah, peranan kecerdasan buatan dalam perdagangan pelbagai hala dan kepentingan perdagangan digital yang semakin meningkat.

WTO merupakan satu-satunya organisasi antarabangsa global yang mengawal selia perdagangan antara negara, menyediakan rangka kerja untuk merundingkan perjanjian perdagangan dan menyelesaikan pertikaian.

Dengan 166 negara anggota mewakili lebih 98 peratus daripada perdagangan global, WTO memainkan peranan penting dalam memastikan perdagangan global berjalan dengan lancar dan sebebas mungkin. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan