KAPIT, 8 Dis: Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 menjadi landasan memupuk perpaduan bukan sahaja di Sarawak malah menjadi contoh kepada semangat muhibah di Malaysia.
Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan perpaduan adalah kunci kepada keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi negara.
Menurutnya, sejarah perdamaian di Kapit menyediakan pengajaran berharga bagi masyarakat untuk menghargai dan menjaga keharmonian.
“Perjanjian Perdamaian Kapit ini akan sentiasa dikenang sebagai pintu gerbang perpaduan bukan sahaja di Kapit atau di Sarawak tetapi semangat muhibbah ini melangkaui batas geografi dan waktu menjadi pegangan kita sebagai rakyat Malaysia selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Perayaan ke-100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Kubu Sylvia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya menambah, semangat perpaduan ini tidak terhenti di Malaysia malah menjadi asas kepada hubungan baik dengan negara jiran seperti Indonesia.
Jelasnya, semangat serumpun membantu membangunkan kefahaman yang mendalam dan memacu kerjasama ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kepemimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga menjadi contoh terbaik dalam mengenepikan perbezaan fahaman politik demi menjaga kebaikan rakyat dan negeri.
“Pemikiran beliau yang jauh ke hadapan dalam mencorak dan merangka masa depan negeri ini juga turut dikagumi kawan dan lawan. Malah, di pentas dunia juga kepimpinan dan visi Premier Sarawak mendapat perhatian yang luar biasa. Sarawak berjaya menjadi model perpaduan yang seharusnya dicontohi.” ujarnya.
Untuk rekod, Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 yang dimeterai seabad lalu, mengakhiri konflik berdarah dan pertelagahan antara kaum membabitkan Iban, Kayan Dan Kenyah di kawasan pedalaman sarawak.
Perjanjian bersejarah itu berlangsung di perkarangan Kubu Kapit atau kini dikenali sebagai Kubu Sylvia, dengan turut disaksikan oleh Rajah Brooke dan pemimpin etnik pada ketika itu.