Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pasukan itu terdiri daripada pakar epidemiologi, doktor, juruteknik makmal, serta pakar pencegahan dan kawalan jangkitan, menurut Pejabat Serantau WHO untuk Afrika pada Jumaat. Foto hiasan Envato

WHO hantar pakar ke DR Congo siasat wabak penyakit misteri

ByBernama

NAIROBI, 7 Dis: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar pakar ke Republik Demokratik Congo untuk membantu pihak berkuasa kesihatan tempatan menyiasat wabak penyakit baharu yang membawa maut, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Pasukan itu terdiri daripada pakar epidemiologi, doktor, juruteknik makmal, serta pakar pencegahan dan kawalan jangkitan, menurut Pejabat Serantau WHO untuk Afrika pada Jumaat.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan dimaklumkan mengenai kes penyakit misteri seperti selesema di barat daya negara Afrika Tengah itu hujung minggu lalu, yang kini dikenali sebagai Penyakit X.

Menurut WHO, Kementerian Kesihatan Congo pada Jumaat melaporkan 394 kes dan 30 kematian di komuniti luar bandar Panzi, kira-kira 700 kilometer dari ibu negara, Kinshasa.

Bagaimanapun, laporan lain menyebut jumlah kematian mungkin mencecah 130 orang, termasuk kes yang berlaku di luar kemudahan kesihatan.

Menteri Kesihatan Roger Kamba sebelum ini menyebut kematian juga dilaporkan berlaku di rumah.

Gejala penyakit termasuk sakit kepala, batuk, demam, kesukaran bernafas, dan anemia.

Punca penyakit masih belum dikenal pasti sehingga keputusan ujian makmal diterima.

Pasukan WHO tempatan pertama telah berada di wilayah Kwango sejak akhir November untuk memantau penyakit itu dan mengenal pasti kes.

Patogen pernafasan termasuk influenza atau COVID-19, sedang disiasat selain kemungkinan lain seperti malaria dan campak.

Kementerian Kesihatan menjangkakan keputusan makmal bagi sampel yang diambil akan diterima selewat-lewatnya hujung minggu ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan