KUCHING, 7 Dis: Kepimpinan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berjaya tingkatkan perpaduan dalam kalangan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pimpinan Dr. Sim selama 10 tahun sejak 2014 mencerminkan keyakinan dan kepercayaan kuat yang diletakkan ahli dalam kepimpinan beliau.
Menurutnya, tempoh tersebut juga disifatkan sebagai bukti perpaduan dan keharmonian dalam kalangan ahli untuk mempunyai lebih banyak masa berkhidmat sekali gus mendekati rakyat Sarawak.
“Tempoh 10 tahun ini kita melihat perubahan kepimpinan baharu dan kemudian kepimpinan ini bekerja sangat baik.
“Kita panggil 10 tahun ini sebagai perpaduan dan keharmonian sekali gus dengan semua ini, maka kita mempunyai lebih banyak masa untuk berkhidmat untuk bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Persidangan Perwakilan SUPP ke-26 di Kuching pada Sabtu.
Persidangan hari pertama tersebut dihadiri seramai 459 perwakilan daripada 53 cawangan SUPP di seluruh Sarawak.
Pada Ahad, persidangan tersebut akan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada jam 4 petang.
Kehadiran Premier Sarawak adalah bertujuan untuk menyampaikan amanat dan hala tuju bersama parti komponen di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk makluman, lima jawatan tertinggi parti pada Mesyuarat Agung Tiga Tahunan (TGM) masih kekal dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mengekalkan jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi penggal 2025-2027.
Empat jawatan tertinggi lain kekal dipegang oleh ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) penggal lalu dan ini termasuk dua Timbalan Presiden SUPP yang terus disandang oleh Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Dua jawatan lain yang kekal ialah Setiausaha Agung SUPP dipegang oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting manakala jawatan Bendahari Agung pula terus disandang oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis. -TVS