KUCHING, 7 Dis: Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan komitmen bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, TVET kini bukan lagi pendidikan kelas kedua dan menambah keperluan berbentuk kemahiran sangat diperlukan graduan di negara ini dalam melahirkan modal insan yang berjaya.
Menurutnya, komitmen kerajaan dizahirkan menerusi peningkatan peruntukan bagi pembangunan dan permerkasaan TVET yang dilihat meningkat setiap tahun.
Tambahnya, peruntukan pada belanjawaan tahun ini menyaksikan pendidikan TVET menerima sebanyak RM7.5 billion berbanding tahun lalu RM 6.7 billion.
“Ingin saya nyatakan di sini, komitmen kerajaan terhadap revolusi TVET dicerminkan dalam belanjawan setiap tahun dan yang terkini, RM 7.5 billion telah diperuntukkan selari dengan dasar TVET negara melalui belanjawan 2024.
“Persepsi dan mentaliti masyarakat sudah mula berubah dengan adanya anjakan paradigma (terhadap pendidikan TVET) yang baharu.
“Maklumat mengenai hala tuju TVET perlu terus disebarkan bagi menghasilkan lebih ramai tenaga kerja yang komited dalam bidang tertentu,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik beliau, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Sijil Vokasional Kohort 2022 di Kolej Vokasional (KV) Matang pada Sabtu.
Majlis yang berlangsung pagi tadi menyaksikan seramai 244 graduan kohort 2022 menerima Sijil Vokasional Malaysia (SVM) diikuti 10 graduan kohort 2023 dan 10 graduan kohort 2024.
Selain itu, seramai 10 graduan turut menerima Diploma Vokasional Malaysia meliputi 10 program Diploma yang ditawarkan KV Matang.
Hadir sama Pengarah KV Betong, Amin Mohd Noor, Timbalan Pengarah Sektor Pelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Siti Zulaiha Ibrahim dan Timbalan PPD Padawan Sektor Perancangan, Kastamy Mudin.-TVS