JAKARTA, 7 Dis: Gempa bumi besar berukuran enam magnitud menggegarkan wilayah barat laut Buol, Sulawesi Tengah, Indonesia.
Berdasarkan maklumat Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gegaran yang berlaku jam 12.14 tengah malam waktu tempatan itu berpusat pada kedalaman iaitu 17 kilometer dari aras laut.
Menurut Ketua Pusat Gempabumi dan Tsunami BMKG, Daryono, hasil analisis mekanisme sumber menunjukkan gempa bumi mempunyai mekanisme pergerakan naik ke atas.
“Dengan mengambil kira lokasi pusat gempa dan kedalaman hiposenter, gempa bumi yang berlaku adalah sejenis gempa bumi cetek akibat aktiviti subduksi plat Laut Sulawesi,” katanya.
Bagaimanapun, tiada amaran Tsunami dikeluarkan meskipun gempa yang terjadi cukup besar.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan manakala orang ramai diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan gegaran susulan. – TVS