KUCHING, 7 Dis: Liputan media Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berjaya mencatatkan sebanyak 533 juta tontonan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, jumlah itu melebihi 210 juta capaian dengan nilai perhubungan awam sebanyak RM91 juta.
“Ia merupakan lonjakan ketara berbanding tahun lalu, iaitu 313 juta tontonan, 92.2 juta capaian dan nilai perhubungan awam sebanyak RM39 juta,” katanya ketika berucap pada Malam Media STB di sini, malam tadi.
Beliau menambah bahawa angka ini menunjukkan impak yang jelas dan kejayaan yang dapat dicapai bersama.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa Sarawak menyasarkan kemasukan lima juta pelancong pada tahun hadapan dan akan terus berusaha mencapai sasaran tersebut.
Malam Media STB menghimpunkan pengamal media dari Sarawak, Brunei, Indonesia dan Taiwan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Sarawak Media Group, Dato Norhyati Ismail – TVS