KUCHING, 6 Dis: China Energy Investment Group, sebuah syarikat milik kerajaan China, sedang berminat untuk melabur dalam projek tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Hasrat ini disampaikan secara peribadi oleh pengerusi kumpulan syarikat itu kepada delegasi Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam satu pertemuan di Shanghai semalam.
Kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Premier Sarawak hari ini berkata syarikat tersebut menyatakan minat untuk menyertai peluang sedia ada dalam projek solar terapung di Sarawak dengan kapasiti optimum sebanyak 2GW.
“Selain itu, China Energy juga mungkin meneroka pelaburan dalam bidang seperti pengurusan sisa kepada tenaga dan loji rawatan air yang dalam bidang kepakaran mereka.
“Dengan ketersediaan sumber biojisim dan keupayaan menghasilkan hidrogen hijau, Sarawak berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima pelaburan dalam bidang ini dengan kapasiti sasaran sebanyak 200,000 tan metanol hijau untuk kilang yang dicadangkan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyatan itu, Awang Tengah menyambut baik minat China Energy Investment Group untuk melabur kerana ia selaras dengan matlamat Sarawak untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Selain tenaga konvensional dan tenaga boleh diperbaharui sedia ada seperti kuasa angin dan solar, syarikat ini juga menjadi perintis dalam sumber tenaga masa depan seperti hidrogen hijau dan metanol hijau.
Kini, mereka sedang membina loji hidrogen hijau dan ammonia terbesar di China, yang dijangka beroperasi pada tahun 2026, didorong oleh keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang kukuh.
“Untuk menyokong strategi tenaga hijau Sarawak, syarikat ini turut mencadangkan penubuhan sebuah pusat tenaga boleh diperbaharui yang akan menyediakan pembangunan kemahiran dan latihan untuk meningkatkan bakat tempatan dalam sektor yang pesat berkembang ini,” kata kenyataan itu.