KUCHING, 6 Dis: Bank Rakyat berjaya merangkul Anugerah ‘Kecemerlangan dalam ESG’ pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2024 mengiktiraf kepimpinan dan komitmen cemerlang bank itu terhadap inisiatif kelestarian alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat Nor Haimee Zakaria pada satu majlis di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Nor Haimee, pengiktirafan tersebut mencerminkan kecemerlangan dan komitmen teguh Bank Rakyat terhadap pembangunan lestari sekali gus memperkukuh peranan bank dalam menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan alam sekitar dan sosial.
“Anugerah ini turut mengiktiraf rangka kerja dan polisi kelestarian bank sebagai panduan yang direka bagi memenuhi piawaian tertinggi kelestarian serta memastikan setiap strategi dan pelan yang dibangunkan dapat menyokong operasi bank dalam memacu pembangunan sosioekonomi negara, mempercepat peralihan hijau serta mengukuhkan asas dalaman organisasi melalui inisiatif pembangunan kemahiran dan tahap kesediaan warga kerja,” katanya.
Nor Haimee turut menekankan komitmen bank terhadap ESG melalui penyediaan produk dan perkhidmatan pembiayaan hijau patuh syariah.
Menurutnya, inisiatif tersebut meliputi pembiayaan bagi kenderaan elektrik, rumah hijau serta pemasangan sistem panel solar sebagai langkah menggalakkan penggunaan tenaga hijau dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, Bank Rakyat memastikan amalan ESG menjadi tunjang pelaksanaan inisiatif komuniti.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkasa individu, perniagaan dan komuniti, tetapi juga memastikan inisiatif kami dapat memberi impak positif yang mampan terhadap ekonomi, sosial dan alam sekitar secara keseluruhan,” ujarnya.
Tambahnya, penghargaan terhadap usaha Bank Rakyat ini memberi dorongan dan galakan kepada Bank itu untuk terus berinovasi dalam merancang strategi dan inisiatif baharu bagi membina masa depan lestari demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama seiring dengan aspirasi Malaysia Madani. – TVS