BUTTERWORTH, 6 Dis: Seorang penumpang maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki melanggar pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Idrus Zakaria berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.44 pagi mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Terdapat tiga mangsa yang mana dua daripadanya iaitu lelaki berusia 18 dan 22 tahun yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Seorang mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang belakang berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya. – TVS