KUCHING, 6 Dis: Penganjuran aktiviti sampingan seperti minggu kokurikulum dan hari terbuka oleh wakil pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan serta kemahiran mengatur program dalam kalangan pelatih paramedik.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, matlamat itu selari dengan objektif program tersebut yang memperkasakan potensi pelatih dalam pelbagai aspek melalui kepimpinan pengurusan dan keusahawanan dalam sukan, aktiviti kebudayaan serta hubungan bersama masyarakat.
“Ini akan melahirkan pelatih seimbang dari aspek kesihatan, akademik dan psikologi dalam menghadapi cabaran program latihan pra perkhidmatan di ILKKM Kuching.
“Ia juga mendedahkan pelatih institut ini kepada jaringan kerjasama dan perkongsian pintar dengan agensi luar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Abang Ismawi Abang Ali pada Majlis Penutupan Minggu Kokurikulum dan Hari Terbuka ILKKM di sini pada Jumaat.
Program tersebut yang bermula pada 30 November lalu hingga hari ini melibatkan dengan pelbagai aktiviti menarik membabitkan 1,052 pelatih serta orang ramai. -TVS