ASAJAYA, 5 Dis: Tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Kampung Terasi di sini, hari ini.
Komander Operasi, Zaidel Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 12.55 tengah hari dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan kenderaan, Nissan Almera yang dinaiki dua mangsa dan Proton Persona dinaiki lima mangsa.
“Enam mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seorang mangsa pemandu kereta Nissan Almera tersepit di dalam kereta.
“Pihak bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang masih tersepit dalam kenderaan Nissan Almera menggunakan peralatan khas.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan untuk dibawa ke hospital bagi mendapat rawatan,” ujarnya.-TVS