LUNDU, 5 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan menanam sendiri sayur-sayuran di belakang rumah dapat menjimatkan perbelanjaan meskipun dalam skala kecil.
Berkongsi cerita, Abang Johari memaklumkan beliau sendiri turut mengambil inisiatif menanam salad dan cili di halaman belakang rumahnya.
“Kalau orang tanya kenapa saya aktif, jawapan saya mungkin disebabkan salad yang saya keluarkan sendiri. Saya tidak perlu berbelanja untuk membeli salad kerana saya boleh mendapatkannya di rumah hijau kecil belakang rumah saya,” katanya.
Beliau berkongsi perkara tersebut semasa merasmikan Kluster Makanan Metropolitan (MFC) Opar di Lundu hari ini.
Tambahnya, penggunaan teknologi terkini membolehkan beliau memantau dan mengurus tanamannya hanya menerusi telefon pintar tidak kira di mana beliau berada.
“Sekarang ini saya dapat melihat tanaman (melalui telefon). Kalau air tidak cukup saya boleh hubungi mereka di rumah untuk siram dan tambah air. Kalau saya boleh seperti ini, saya percaya penduduk di Opar juga boleh buat.
“Kalau cuaca panas, ‘ketek’ sahaja terus keluar air.” tambah Abang Johari memberi galakan kepada pekebun agar beradaptasi dengan teknologi.
Beliau menyeru pekebun kecil menggunakan teknologi pintar dan moden dalam sektor pertanian agar hasil dapat ditingkatkan sekali gus dapat dijual ke negara luar.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak sedang giat menambahbaik jaringan telekomunikasi bagi membolehkan teknologi canggih dapat diguna pakai di semua kawasan. -TVS