KUALA LUMPUR, 5 Dis: Seramai 23,957 pelajar di seluruh negara dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri dengan kesemua mereka telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tiga negeri yang mempunyai bilangan tertinggi pelajar terkesan dan ditempatkan di PPS ialah Kelantan dengan 17,873, diikuti Terengganu 3,893 dan 1,580 orang di Kedah.
Jelas beliau, setakat pagi ini seramai 7,212 orang murid dan pelajar masih berada di PPS yang melibatkan premis sekolah dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 5,305 orang.
“KPM juga menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di PPS. SST terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roslan Hashim (Perikatan Nasional-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sebanyak 470 buah institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai PPS melibatkan 392 buah sekolah rendah, 77 buah sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional sejak 5 November lepas.
Dewan Rakyat: 922,318 pelajar sekolah, IPT alami masalah mental pada 2023 – Lukanisman
“Tiga negeri tertinggi yang mempunyai sekolah yang dijadikan PPS adalah Kelantan (240), Terengganu (137) dan Kedah (51) buah sekolah.
“Sehingga jam 8.00 pagi hari ini, sebanyak 117 buah sekolah masih beroperasi sebagai PPS,” ujarnya. – TVS