KUCHING, 4 Dis: Aksi mantap yang dipamerkan Kuching City FC ketika bermain gelangang sendiri nyata masih gagal menyekat kemaraan pasukan Sabah FC untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri di sini pada Rabu.
Malah Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC, Alto Linus turut mengakui agak sukar untuk pasukannya menundukkan pasukan tuan rumah itu kerana momentum permainan Kuching City yang baik selain kelebihan bermain di gelangang sendiri.
Namun itu bukan alasan untuk pasukannya memberikan laluan mudah untuk Kuching City membolot tiga mata penuh pada cabaran tersebut.
” Mereka (Kuching City FC) memiliki momentum yang sangat baik namun syukur hari ini kita bawa balik tiga mata dan kredit harus diberikan kepada semua pemain mereka malam ini.
“Mereka turun dengan begitu berkeyakinan tinggi dan kita bermain dengan semangat kekeluargaan, itu menyebabkan kita dapat membawa pulang tiga mata penuh malam ini,” katanya ketika di temui selepas selasai perlawanan Liga Super antara Kuching City FC dan Sabah FC di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan dua kesilapan yang berlaku ketika sepakan sudut dan sepakan percuma menjadi antara punca pasukannya gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelangang sendiri.
Namun itu katanya bukan tiket untuk menyalahkan sesiapa sebaliknya ia dijadikan sebagai pengajaran berguna ketika berhadapan Sabah FC bagi saingan Piala Malaysia 13 Disember depan.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya kekalahan yang dialami sebagai ketua Jurulatih dan paling penting saya gembira pemain-pemain semua bermain dengan baik sekali.
“Kita merupakan pasukan yang masih baru dibandingkan dengan Sabah yang sudah bersama tiga ke empat tahun.
“Namun saya tetap percaya dengan kemampuan pemain-pemain dan kita akan bangkit lebih kuat lagi untuk perlawanan sepenuhnya,” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi, Pasukan Sabah FC memecah kebuntuan pada minit ke-65 menerusi Saddil Ramdani selepas kedua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.
Pasukan Kuching City FC yang tersentak dengan jaringan itu bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan kepada satu sama pada minit ke 81 perlawanan menerusi pemain simpanan Zahrul Nizwan Zulkeflee.
Namun kegembiran Kuching City FC itu tidak kekal lama apabila pemain pertahan Sabah Gabriel Schmegel Wotter Peres meletakan Sabah FC di depan sekali lagi menerusi jaringan pada minit ke-85 perlawanan.
Tamat perlawanan keputusan kekal Kuching City FC, 1 mana kala Sabah FC 2 sekali gus membolehkan pasukan pelawat mengutip tiga mata penuh perlawanan. -TVS