PENAMPANG, 5 Dis: Rakyat Sabah terutama golongan belia diseru agar giat memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menegaskan kepentingan isu MA63 amat memerlukan perhatian dan tindakan serius daripada generasi muda.
“Tanggungjawab untuk memperjuangkan masa depan Sabah terletak di bahu generasi muda. Kami yang lebih tua sudah menjalankan tugas kami, tetapi generasi muda perlu melihat ke hadapan dan memikirkan masa depan mereka sendiri. Jangan menipu diri sendiri. Sebagai individu yang waras, kita perlu dapat membezakan yang betul daripada yang salah.
“Jangan mengakui sesuatu yang salah sebagai benar, atau menafikan kesusahan jika ia benar-benar berlaku. Jika kita menipu diri sendiri, kita akan menanggung akibatnya di kemudian hari.
“Oleh itu, generasi muda perlu berfikir secara jujur dan bertindak dengan ikhlas demi membela negeri dan masa depan mereka sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Kebudayaan Koisaan di sini, Rabu.
Pairin turut menegur kegagalan menunaikan janji pemberian hasil 40 peratus kepada Sabah seperti yang termaktub dalam MA63. Beliau menyatakan isu ini masih belum selesai walaupun lebih 61 tahun telah berlalu sejak pembentukan Malaysia.
“MA63 telah menjadi isu selama lebih 61 tahun, tetapi ia masih belum dilaksanakan. Perdana Menteri pernah mengatakan untuk tidak membincangkan lagi hal itu dan sebaliknya melaksanakan apa yang telah dipersetujui. Namun, sehingga kini, pelaksanaan itu masih tidak jelas.
Jika kita mengikut perlembagaan, pungutan hasil sebanyak 40 peratus sepatutnya diberikan setiap tahun kepada Sabah. Ini adalah perkara mudah jika dilaksanakan dengan baik. Namun, kegagalan memenuhi janji inilah yang menyebabkan rakyat Sabah terus bising dan tidak puas hati,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa generasi muda perlu mempertahankan hak Sabah dengan keberanian dan kejujuran. Menurutnya, selagi tuntutan MA63 belum diselesaikan, rakyat Sabah tidak boleh berdiam diri dan perlu terus berjuang demi masa depan negeri itu.
Pairin merujuk kepada hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri ini, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Namun, sejak tahun 1974, pembayaran tahunan kepada Sabah tidak mencerminkan jumlah tersebut. Walaupun terdapat peningkatan dalam pembayaran khas kepada RM300 juta pada tahun 2023, jumlah ini masih jauh daripada 40 peratus yang sepatutnya diterima. -TVS