KUCHING, 4 Nov: Kerajaan Sarawak giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik pelabur asing dalam usaha mempromosi Sarawak sebagai destinasi pelaburan dalam semua bidang terutama bidang ekonomi baharu.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri- Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Sarawak telah banyak mengadakan jerayawara ke luar negara bagi mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan untuk semua bidang.
“Inilah pekara yang kita buat untuk bawa pelaburan dan kita ada Invest Sarawak , di mana kita menggalakkan pelabur datang dan juga kita memberi insentif kepada syarikat besar dari luar yang datang hendak melabur dalam bidang ekonomi hijau dan ekonomi hidrogen,” katanya kepada TVS selepas Forum Sarawak’s Path Forward Examining The 2025 Malaysia Budget sempena Persidangan Belanjawan Sarawak 2025 di Borneo Convention Center Kuching(BCCK) disini, hari ini.
Hasidah turut menyambut baik peruntukkan Bajet Madani kepada Sarawak sebanyak RM5. 6 bilion, namun ia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan terutamanya dari segi pembangunan infrastruktur, sekolah daif, klinik daif dan pelbagai projek pembangunan selaras usaha untuk mencapai ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Bajet kita ini adalah merupakan satu bajet ‘people centric’ yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dimana kerajaan telah memperuntukkann berjuta ringgit untuk inisiatif -inisiatif mensejahterakan rakyat seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan bantuan ‘poket money’ untuk pelajar Sarawak sebanyak RM1200 dan pelbagai lagi inisiatif lain,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan hala tuju ekonomi Sarawak kini semakin jelas ke arah perkembangan yang positif terutamanya untuk menarik lebih banyak pelaburan asing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, kekayaan sumber semula jadi dan potensi ekonomi yang besar menyebabkan Sarawak sentiasa menarik minat pelabur luar.
“Saya kira dari segi pelabur asing, mereka ini sememangnya cakna tentang perkembangan ekonomi negara kita termasuk negeri-negeri lain yang terlibat dan Sarawak semenangnya bukan sesuatu yang asing dalam radar mereka.
“Mereka sentiasa cakna tentang bahawa potensi sumber alam yang dimiliki oleh negeri Sarawak seperti minyak dan gas, kelapa sawit dan juga tenaga yang boleh diperbaharui, jadi dari segi aspek itu, saya rasa pihak pelabur asing cakna akan keadaan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan Sarawak perlu menekankan usaha membentuk naratif pembangunan dari segi komunikasi dengan pelabur asing, golongan penganalisis ekonomi, penganalisis ekuatif termasuk sesi libat urus dengan pelabur.
“Jadi dengan pembentukan naratif tersebut maka jelas dari segi apa yang mahu dicapai oleh negeri Sarawak pada pengakhirannya banyak pelaburan akan masuk ke dalam Sarawaak disebabkan oleh maklumat-maklumat yang jelas berserta dengan fakta.
“Apabila dinilai oleh golongan profesional ini, maka ini akan meningkatkan kredibiliti kerajaan Sarawak dalam mentadbir ekonomi negeri mereka,” katanya. – TVS