KUCHING, 4 Dis: Kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diyakini terus mempamerkan visi masa depan yang progresif dan berpandangan jauh melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19.
Duta Belanda ke Malaysia TYT Jacques Werner berkata, inisiatif Abang Johari dalam merangka masa depan bukan sahaja untuk membangunkan Sarawak tetapi juga menjalin hubungan strategik antarabangsa serta membuka jalan bagi Sarawak untuk menjadi model pembangunan mampan di rantau ini.
“Saya bertanya kepada beliau mengenai visinya untuk masa depan, dan saya sangat terkesan dengan idea-idea beliau (Abang Johari) tentang bagaimana untuk mengembangkan Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu Jacques turut mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti bidang-bidang di mana negeri-negeri lain berpotensi menjadi rakan strategik yang berguna untuk Sarawak.
“Usaha ini bertujuan untuk mencapai kemajuan Sarawak pada masa hadapan,” kata Jacques lagi. -TVS