KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kerajaan Persekutuan diminta menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi memperkukuhkan sektor kesihatan di Sarawak, kata Senator Pele Peter Tinggom.
Ahli Dewan Negara itu berkata, ini kerana di wilayah berkenaan wujud keperluan mendesak untuk memastikan kemudahan kesihatan setaraf dengan yang disediakan di Semenanjung Malaysia.
Kata beliau, Sarawak memerlukan RM7.89 bilion setahun untuk mencapai standard kemudahan kesihatan yang setara dengan Semenanjung Malaysia.
“Saya bersyukur dengan peruntukan lebih RM100 juta yang telah diluluskan untuk 2025 namun sebenarnya jumlah itu masih tidak mencukupi,” katanya kepada TVS di Parlimen di sini, baru-baru ini.
Sementara itu beliau turut menyambut baik kelulusan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Nyabau dan Klinik Kesihatan Roban serta RM855,500 bagi kemudahan perubatan di Daerah Saratok.
“Ini sebenarnya permintaan yang sudah lama tertunggak dan saya gembira ia akhirnya diluluskan,” tambahnya lagi.
Mengenai autonomi kesihatan di Sarawak, Pele Peter berkata, pelaksanaannya perlu mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dasar yang membolehkan Sarawak membuat keputusan adalah penting, sementara Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berdasarkan permintaan,” katanya. -TVS.