BERMULA sekadar untuk melepaskan rindu terhadap kuih kompia yg tidak dijual di Kuching, Huda Hamka, 22, tidak menyangka kini dia berjaya menjadikan kuih berkenaan sebagai mata pencarian utamanya.
Lebih membanggakan, graduan teknologi maklumat tersebut kini menjadi usahawan kompia dengan nilai jualan lebih ribuan ringgit sehari.
“Saya tidak menyangka dengan modal RM50 untuk menghasilkan dua kilo adunan kompia tiga tahun dahulu menjadi titik tolak Kompia House.
“Saya mula jatuh cinta dengan kompia setelah makan kuih ini di Sibu beberapa tahun yang lalu,” kata Huda ketika ditemui TVS.
Menurutnya lagi, sebelum ini beliau hanya membuat dua jenis kompia sahaja iaitu yang manis tetapi mendapat ilham untuk mempelbagaikan perisa sedia ada seperti kompia Biscoff, kompia kacang merah, kompia daging dan kompia Nutella.
Gadis kelahiran Kuching itu juga menanam impian untuk memperkembangkan perniagannya di seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan memperkenalkan makanan tradisi orang Sarawak pada tahap antarabangsa.
“Memang saya dan rakan perniagaan saya ada impian untuk perkembangkan perniagaan ini, cuma buat masa ini kami bertumpu di Sarawak dahulu, ada rezeki kami memang mahu membawa Kompia House ke Semenanjung Malaysia,” katanya.
Kompia adalah sejenis roti yang popular di beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Indonesia terutama di tempat di mana masyarakat Tionghoa berasal dari Foochow, China.
Di Kompia House, Matang, harga sebiji kompia bermula pada RM! Sehingga RM1.50, mengikut perisa dan jenis inti.