KUCHING, 2 Dis: Sistem Lampu Isyarat Berkuasa AI (STILE) memainkan peranan penting dalam memastikan aliran trafik ketika penganjuran Pesta Benak Sri Aman 2024 baru-baru ini berjalan lancar.
Menurut satu kenyataan, STILE merupakan sistem lampu isyarat berkuasa AI pertama di Malaysia Timur dan ia membantu dalam menguruskan pergerakan kenderaan yang keluar dan memasuki daerah Sri Aman sepanjang tempoh tiga hari pesta tersebut berlangsung.
Dengan pemantauan masa nyata termaju dan kawalan trafik yang sesuai, STILE merupakan sistem lampu isyarat yang dilaraskan secara dinamik untuk meminimumkan kesesakan serta memastikan kecekapan pergerakan kenderaan walaupun pada waktu puncak.
“Bagi komuniti tempatan Sri Aman, STILE merupakan ‘game-changer’ sejak ia dilaksanakan pada awal tahun ini di mana penduduk telah mencatatkan pengurangan ketara dalam trafik harian sesak, membolehkan perjalanan yang lebih lancar dan produktiviti yang lebih besar.
“Semasa Pesta Benak, sistem ini membuktikan nilainya dengan menghalang kesesakan di persimpangan utama, terutamanya berhampiran pekarangan pesta dan sepanjang pintu masuk ke bandar,” menurut kenyataan itu.
Sistem itu turut mendapat pujian daripada rata-rata pengunjung terutamanya yang datang dari luar bahagian Sri Aman kerana kecekapan yang ditampilkan dalam mengendali kelancaran lalu lintas.
Untuk rekod, sistem STILE menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis laluan trafik dalam masa nyata, mengutamakan aliran kenderaan berdasarkan permintaan semasa.
Ia bukan sahaja mengurangkan masa menunggu tetapi juga mengurangkan penggunaan bahan api serta pelepasan karbon dan menyumbang kepada kemampanan alam sekitar.
Dalam pada itu pelaksanaan sistem tersebut turut mendapat perhatian dan pujian dari pihak kerajaan tempatan dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) selepas keupayaan sistem itu terbukti dalam mengendalikan acara berskala besar seperti Pesta Benak.
“STILE bukan hanya mengenai pengurusan lalu lintas, ia mengenai meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menjadikan Sri Aman sebagai sebuah destinasi yang mengalu-alukan kedatangan pelancong,” kata wakil daripada SADA.
Melihat kepada prestasi baik pada Pesta Benak, STILE dirancang untuk dikembangkan ke persimpangan tambahan di dalam kawasan Sri Aman.
Dengan keupayaannya yang telah terbukti, sistem tersebut bersedia untuk mentakrifkan semula pengurusan trafik di negeri ini, memupuk rangkaian pengangkutan yang lebih selamat serta cekap.
STILE bukan sahaja memastikan perjalanan yang lancar untuk pengunjung Pesta Benak tetapi juga menetapkan penanda aras yang tinggi untuk penyelesaian trafik pintar di Malaysia. – TVS