MIRI, 2 Dis: Program Pengukuhan Pendidikan Sarawak (SEEP) akan menjadi pengubah keadaan bidang pendidikan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, jika dilaksanakan dengan wajar dan dipacu data tepat, ia akan memberikan pencapaian terbaik kepada gred purata tahunan.
“Ya, itulah sebabnya ia perlu berdasarkan data, pemilihan pelajar akan dibuat penuh teliti dan apa yang lebih penting ialah pemantauan kemajuan pelajar serta pemantauan terhadap pelaksanaan program yang penting dalam apa jua bentuk.
“SEEP adalah program yang ingin melihat sebarang bentuk kejayaan. Jadi sebab ia dimulakan awal dan kita mahu meningkatkan taraf pendidikan Sarawak.
“Saya boleh katakan bahawa SEEP ini adalah game changer jika ia dilakukan dengan betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Randau Program Pengukuhan Pendidikan Sarawak (SEEP) Zon Utara 1, di sini hari ini.
Menurutnya, sesi randau tersebut bertujuan menerangkan secara lebih terperinci mengenai SEEP kepada pengetua 185 sekolah seluruh Sarawak.
“Ia dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon melibatkan Sibu, Betong, Kuching, Bintulu dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau turut berharap guru tidak merasa terbeban dengan pelaksanaan SEEP.
“Jika kita rasa tanggungjawab adalah satu beban ia tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar. Itulah sebabnya mesej saya ialah kita mahu guru perlu mempunyai usaha tambahan membantu pelajar.
“Ia tidak sepatutnya memberi beban tambahan yang tidak perlu kepada guru. Sebab itu sesi randau yang kami adakan ini adalah untuk meminimumkan beban.
“Kerana apabila mereka mempunyai persepsi bahawa itu adalah beban tambahan kepada mereka, mereka mungkin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan cukup baik,” jelasnya.
Mengenai perbezaan SEEP dengan Yayasan Sarawak High Performing Rural Schools (HIPERS), Dr Annuar menjelaskan ia bukan duplikasi.
“HIPERS bermaksud Sekolah Luar Bandar Berprestasi Tinggi, dalam erti kata lain anda ingin mengubah sebuah sekolah menjadi sekolah berprestasi tinggi,” katanya. – TVS