MUKAH, 2 Dis: Seorang remaja perempuan ditemui meninggal dunia di beranda hadapan sebuah rumah di Kampung Kuala Lama di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan kejadian pada jam 6 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Remaja berusia 18 tahun itu dijumpai meninggal dunia di kawasan beranda sebuah rumah sebelum polis dimaklumkan mengenai penemuan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau perbuatan khianat yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Mayatnya dibawa ke rumah mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut. Setakat ini, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR),” ujarnya. -TVS