KUCHING, 2 Dis: Cuti melibatkan anggota di 38 balai bomba dibekukan sebagai persediaan menghadapi banjir di Sarawak.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, ia berkuat kuasa semalam bagi membolehkan semua anggota bersedia sepenuhnya.
“Kita (JBPM Sarawak) sedia maklum dan telah melancarkan kempen persediaan banjir pada Oktober lepas
“Kita akur dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sesiapa (pegawai bomba) yang sudah pulang dipanggil semula walaupun keadaan di Sarawak belum lagi kritikal,” katanya pada sidang media selepas Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di sini, hari ini.
Menurutnya, dari segi persiapan logistik, JBPM Sarawak sudah bersedia bermula September lalu.
“Anggota setiap balai akan melakukan rondaan jika hujan lebat berlaku berterusan lebih dari satu jam.
“Ini penting untuk membolehkan kita melakukan pemantauan dan membantu mangsa berpindah ke tempat selamat jika perlu,” ujarnya.
Tiong berkata, kesemua 38 balai tersebut melibatkan 1,284 anggota termasuk pasukan bomba bantuan.-TVS