KUCHING, 2 Dis: Sebanyak 313 buah premis di Sarawak telah mendapat Sijil Perakuan Bomba (FC) daripada sebanyak 493 premis yang ditetapkan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, jumlah itu menjadikan peratusannya sebanyak 63.5 peratus.
“Daripada jumlah itu sebanyak 67 premis terdiri daripada agensi kerajaan dan 426 premis ditetapkan daripada agensi swasta,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di sini, hari ini.
Dalam ucapannya beliau berkata, 37 premis ditetapkan telah tamat tempoh Perakuan Bomba, Notis FC6 (pemeriksaan perakuan bomba), Notis FC7 (penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan), premis yang belum memohon Perakuan Bomba dan masih dalam proses permohonan Perakuan Bomba.
Beliau dalam masa sama menyeru agar semua pihak untuk membuat permohonan agar boleh mendapat perakuan bomba untuk beroperasi sekali gus menegaskan bahawa perakuan bomba bagi setiap premis di Sarawak adalah kewajipan undang-undang.
“Mereka (pemilik atau penghuni premis) mesti membuat permohonan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“JBPM di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dan kami di Kementerian sentiasa membantu mendidik masyarakat dalam membuat permohonan,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, sijil perakuan bomba bersifat satu tahun dan pemilik atau penghuni premis perlu menghubungi pihak bomba untuk hal ehwal pembaharuan sijil perakuan.
Michael turut menyentuh mengenai Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang merupakan undang-undang yang mengatur keselamatan kebakaran di Malaysia.
“Akta ini menetapkan kewajipan bagi premis dan bangunan untuk mematuhi peraturan keselamatan kebakaran, termasuk keperluan mendapatkan Perakuan Bomba untuk memastikan premis tersebut selamat daripada risiko kebakaran.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Dato Ahmad Irzam Osman dan Pemangku Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii. – TVS