BAU, 2 Dis: Karnival Belia Bau (KBB) 2024 yang julung kali diadakan disifatkan sebagai satu kejayaan berdasarkan penglibatan dan kemeriahan sepanjang tiga hari dilangsungkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, ia berdasarkan komitmen dan semangat semua pihak termasuk belia yang menjayakan karnival tersebut.
Menurutnya, karnival tersebut turut menjadi medan mengukuhkan hubungan termasuk dalam aspek komersial, sosial dan spiritual selain memberi manfaat kepada belia menerusi program yang diadakan.
“Ini menunjukkan komitmen dan semangat kerjasama antara ahli kelab serta belia, tanpa kerjasama seperti ini mungkin sukar untuk mengadakan program seperti ini.
“Karnival ini adalah program berfaedah kepada belia kerana pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tiga hari dilangsungkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Belia Bau (KBB) 2024 di Pusat Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) di Bau pada Ahad.
Menurutnya, program yang memberi faedah kepada belia perlu diteruskan bagi penganjuran festival pada edisi akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Karnival Belia Bau, Kapten Joseph Emmanuel berkata, sepanjang tiga hari karnival berlangsung, pengunjung terutama belia menunjukkan semangat tinggi untuk membantu, memberi semangat dan menyertai aktiviti yang dijalankan.
Tambahnya, karnival tersebut diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada belia terutama di Bau untuk menjalankan aktiviti lebih bermanfaat pada masa akan datang.
“Apa yang penting, kita melihat belia amat bersemangat dan menyokong penuh karnival ini,” ujarnya.-TVS