KUCHING, 1 Dis: Sarawak akan bekerjasama dengan Universiti Cambridge untuk melaksanakan ujian penilaian murid tahun enam, tingkatan tiga dan lima bagi memastikan peningkatan mutu pendidikan generasi akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kos bagi pelaksanaan penilaian itu nanti akan ditanggung Kerajaan Sarawak demi memastikan tahap pendidikan murid dan pelajar di Sarawak dapat dinilai.
“Saya ada mengarahkan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn untuk membuat kenyataan yang mana anak murid dan pelajar kita di tahun enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima perlu menduduki peperiksaan penilaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan N.26 Gedong Sesi 2024-2027, di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, dasar pendidikan negara pada masa ini menyebabkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah tidak menduduki peperiksaan melainkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Oleh itu, kita terpaksa memperkenalkan penilaian terhadap murid dan pelajar kita supaya guru-guru tahu tahap kecerdasan masing-masing.
“Jika murid dan pelajar tersebut tidak mendapat keputusan yang bagus, jadi kita bantulah mereka dengan mengadakan kelas khas,” ujarnya.
Tambah Abang Johari, Sarawak akan tetap mengikuti dasar pendidikan kebangsaan yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan, namun pihaknya tetap melaksanakan peperiksaan penilaian berkenaan. – TVS