KUCHING, 1 Dis: Kuching City FC meneruskan momentum cemerlang selepas melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024.
Kejayaan tersebut dicapai selepas anak buah Aidil Sharin Sahak menyingkirkan Penang FC dengan agregat 3-0, hasil kemenangan 2-0 di Stadium Negeri malam tadi dan 1-0 di Stadium Bandaraya pada aksi pertama pusingan 16 sebelum ini.
Pertembungan di Petra Jaya itu menyaksikan perlawanan yang agak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan tiada jaringan dihasilkan pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan pasukan tuan rumah mendapatkan gol pembukaan selepas Tchetche Kipre menyudahkan hantaran Petrus Shitembi pada minit ke-67 .
Ramadhan Saifullah kemudianya meledak gol kedua untuk pasukan Kuching City pada minit ke-79 sekali gus merencatkan semangat pemain Penang FC.
Kejayaan tersebut melakar satu lagi pencapaian manis buat pasukan dari Sarawak yang kini semakin menonjol sebagai pencabar kompetitif dalam arena bola sepak tanah air.
Di peringkat suku akhir, Kuching City bakal berdepan Sabah yang berjaya menyingkirkan PT Athletic dengan agregat 7-0.
Perlawanan yang dijangka sengit itu akan menjadi pertembungan Borneo yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak kedua-dua pasukan. -TVS