LAWAS, 1 Dis: Lawas memerlukan penambahan kemudahan balai bomba mini bagi mempercepatkan kerja memadam api sekiranya berlaku kebakaran khususnya di kawasan pedalaman di daerah itu.
Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, walaupun terdapat sebuah Balai Bomba Lawas, namun kedudukan Lawas yang agak terasing dengan daerah lain, selain jarak perjalanan jauh menimbulkan kesulitan dalam operasi pemadaman dan penyelamatan, terutama apabila berlaku kebakaran.
“Balai bomba mini ini sangat diperlukan di daerah Lawas, penduduk di Lawas memohon supaya sebuah balai dibina di sini supaya pemadaman dapat dilakukan pantas.
“Ini penting memandangkan kedudukan daerah Lawas ini agak terasing dan tempat yang paling dekat adalah daerah Limbang tetapi perlu melalui daerah Temburong Brunei selain di daerah Sipitang Sabah,” katanya.
Henry Sum menjelaskan demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Bomba Komuniti Kampung Long Tengoa, Trusan, Lawas Tahun 2024 pada petang semalam.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Penguasa Bomba Ramlan Marajan, dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim.
Henry Sum berkata, dalam kes kebakaran yang berlaku di Kampung Pemukat Kuala Lawas baru-baru ini, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas juga mendapatkan bantuan pemadaman daripada BBP Sipitang selain peranan pasukan bomba komuniti di daerah itu.
Katanya, peranan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti penting mempercepat operasi pemadaman selain memperkasa kesedaran keselamatan kebakaran khususnya di kawasan yang agak jauh seperti tanah tinggi Ba Kelalan Lawas.
Pada program itu seramai 120 peserta terdiri daripada 15 buah kampung sekitar kawasan Long Tengoa dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Tengoa menjayakan Program Bomba Komuniti Kampung Long Tengoa, Trusan Lawas Tahun 2024.
Henry Sum turut menyampaikan sumbangan alat pemadam api kepada 15 buah kampung yang terlibat. -TVS