MIRI, 30 Nov: Loji Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri akan meningkatkan infrastruktur tenaga Sarawak dengan ketara terutama dalam bekalan kuasa lebih bersih dan boleh dipercayai di Miri serta kawasan utara wilayah ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, perancangan teliti diperlukan untuk menghidupkan projek tersebut.
“Daripada reka bentuk hingga pelaksanaan, butiran seperti pengurusan trafik yang berkesan dan setiap aspek dipertimbangkan dengan teliti untuk memastikan ia berjaya disiapkan.
“Dengan menerima teknologi lebih bersih dan memanfaatkan sumber gas asli secara bertanggungjawab, kami bukan sahaja dapat menampung keperluan tenaga hari ini tetapi membuka jalan untuk masa depan tenaga lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Loji Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri, di sini hari ini.
Julaihi menjelaskan, Loji Janakuasa CCGT Miri dapat dilihat sebagai simbol komitmen Sarawak terhadap pembangunan mampan.
“Pada masa sama, dengan meningkatkan penggunaan gas domestik daripada enam peratus kepada 30 peratus menjelang 2030, Sarawak turut mewujudkan peluang untuk rakyat sambil memanfaatkan sumber asli bagi manfaat generasi semasa dan akan datang,” ujarnya.-TVS