KUALA LUMPUR, 28 Nov: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang untuk meningkatkan jumlah pegawai perubatan serta pegawai dengan kepakaran khusus atau subkepakaran di Hospital Angkatan Tentera (HAT) bagi memenuhi keperluan perawatan yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, bagaimanapun menjelaskan bahawa usaha ini bergantung kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah perjawatan baharu, seiring dengan peningkatan jumlah pesakit dan keperluan tenaga kerja yang semakin mendesak.
“Kementerian komited untuk menambah bilangan pegawai perubatan pakar atau subkepakaran serta pegawai perubatan angkatan tentera bagi memastikan perkhidmatan kesihatan ATM berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) mengenai kekurangan pegawai perubatan pakar dan subkepakaran di HAT seluruh negara dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. – TVS