KUALA LUMPUR, 28 Nov: Kerajaan memilih untuk menggunakan sistem pajakan bagi pemerolehan helikopter untuk agensi kerajaan dan pasukan keselamatan, kerana kaedah ini dianggap lebih telus dan dapat mengurangkan beban kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan pendekatan ini juga membantu kerajaan menjimatkan kos penyelenggaraan serta mengelakkan kerugian akibat kerosakan, yang sering menjadi isu utama.
“Jika kita membeli, walaupun pada awalnya lebih murah, kos penyelenggaraan pesawat akhirnya jauh lebih tinggi berbanding harga belian asal,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) berhubung kontrak pajakan helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dilaksanakan melalui sistem pajakan.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan bahawa sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan melalui kontrak bernilai RM16 bilion selama 15 tahun, melibatkan pelbagai agensi termasuk ATM.
Anwar turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, telah memberi jaminan kerjasama penuh dalam kontrak pajakan helikopter Leonardo, memandangkan kerajaan Itali memegang 30 peratus saham dalam syarikat tersebut.
“Di bawah konsep pajakan ini, syarikat pengeluar perlu memastikan helikopter yang dibekalkan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan sekurang-kurangnya 85 peratus,” jelasnya, sambil menambah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam akan dijadikan pusat latihan untuk helikopter Leonardo sebagai sebahagian daripada syarat perjanjian.
Menjawab pertanyaan tambahan Onn Abu Bakar (Batu Pahat) mengenai kemungkinan kaedah pajakan ini diperluaskan kepada aset lain seperti jet pejuang, Anwar berkata terdapat situasi tertentu di mana perolehan segera diperlukan, yang tidak sesuai menggunakan sistem pajakan.
“Ada keperluan mendesak yang memerlukan pembelian terus, tidak boleh menunggu proses leasing (pajakan),” katanya.
Namun, ketika menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham tentang penglibatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam memastikan syarikat Leonardo memenuhi spesifikasi helikopter, Anwar menegaskan isu teknikal keselamatan negara tidak boleh dibincangkan secara terbuka demi menjaga kerahsiaan.
“Tiada negara yang membincangkan perincian spesifikasi ketenteraan secara umum. Ia tidak wajar dan boleh menjejaskan keselamatan,” ujarnya. – TVS