KUCHING, 27 Nov: Sarawak tetap melaksanakan Penilaian Standard Program Dwi Bahasa (DLP) membabitkan murid Tahun Enam mulai 2025, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembagunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurutnya, penilaian itu penting bagi menilai tahap pemahaman pelajar terhadap subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
“Kita memerlukan satu bentuk penilaian kerana jika tidak kita tidak akan mengetahui tahap pemahaman murid-murid.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga tingkatan lima untuk menduduki peperiksaan SPM bagi mengatahui pencapaian pelajar dalam sistem pendidikan kerana ia sudah agak terlambat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan 2024 di sini, hari ini.
Roland Sagah berkata walaupun tindakan itu berbeza dengan dasar Kementerian Pendidikan namun ia satu keperluan dan ia berupaya menjadi satu persediaan kepada pelajar untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Terdahulu, pada sidang Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keputusan memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid di sekolah bertujuan untuk mengurangkan tekanan dihadapi murid terlibat.
Menurutnya, langkah itu adalah bagi memberi tumpuan lebih terhadap pembelajaran di sekolah berasaskan pertanyaan, ekplorasi, pengalaman, mengikut konteks serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.