MIRI, 25 Nov: Perarakan Krismas Bandar Raya Miri 2024 kembali dengan matlamat untuk mempromosikan keharmonian dan nilai-nilai masyarakat berbilang kaum.
Acara tahunan yang kini memasuki edisi ke-15 akan berlangsung pada 7 Disember di Miri City Fan.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, berkata perarakan tersebut bukan sekadar sambutan perayaan tetapi juga platform yang mengukuhkan perpaduan komuniti.
“Perarakan ini melambangkan keunikan bandar raya kita yang hidup dalam keharmonian dan saling menghormati antara kaum.
“Perarakan kali ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai aktiviti seperti arca Krismas terapung, konsert dan persembahan kreatif. Penampilan khas artis tempatan, Melissa Francis, turut akan menyerikan acara ini,” katanya pada sidang media Perarakan Krismas Bandaraya Miri 2024 di sini, hari ini.
Acara ini juga mengetengahkan semangat kasih sayang melalui inisiatif kebajikan yakni kutipan derma daripada gereja-gereja yang mengambil bahagian akan disalurkan kepada badan amal tempatan.
“Perarakan Krismas ini bukan sahaja perayaan keagamaan tetapi juga simbol kasih sayang, perpaduan dan kekuatan masyarakat majmuk kita.
“Kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia, RELA dan pasukan Marshall gereja adalah jaminan bahawa perarakan akan berlangsung dengan lancar dan selamat,” tambahnya.
Untuk edisi kali ini, jemputan turut dihantar kepada bandar-bandar persahabatan Miri termasuk La Trinidad di Filipina, Singkawang di Indonesia dan Gochang-gun di Korea Selatan dalam usaha memperluaskan mesej perpaduan ke peringkat antarabangsa. – TVS