JAKARTA, 25 Nov: Kira-kira tiga juta pengunjung dari Indonesia melawat Malaysia setakat Oktober tahun ini.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin berkata, jumlah tersebut akan terus meningkat dalam tempoh sebulan lagi yang merupakan musim cuti bagi kebanyakan rakyat Indonesia.
“Justeru, kami mengalu-alukan lebih ramai rakyat Indonesia datang ke Malaysia, pergerakan pelancong ini adalah sesuatu yang diharapkan, kalau boleh mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Malaysia Gastronomy Truly Asia 2024 bagi memperkenalkan budaya masakan asli Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Lembaga Pelancongan Malaysia di Jakarta (TM Jakarta) menyasarkan 4.2 juta orang dari Indonesia akan datang melawat Malaysia pada 2024 manakala jumlah tersebut meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 3.1 juta orang.
Pada masa ini, TM Jakarta terus berusaha untuk membawa lebih ramai pelancong yang berkunjung ke Malaysia antaranya menerusi program promosi kulinari yang dianjurkan seperti hari ini.
Dalam pada itu, kerjasama dengan syarikat agensi pelancongan dalam talian terkenal Traveloka dijalankan melibatkan syarikat penerbangan Air Asia yang akan memberikan harga berpatutan untuk ke pelbagai destinasi di Malaysia sepanjang cuti hujung tahun ini.
Melalui inisiatif itu diharap dapat membuka peluang bagi melepasi sasaran ketibaan pelancong Indonesia ke Malaysia pada tahun ini.-TVS