DALAT, 25 Nov: Program jangkauan bukan hanya menyantuni golongan kurang bernasib baik atau dilanda musibah tetapi menjadi wadah memperkasa sesebuah kawasan supaya memberi manfaat kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebagai contoh Kampung Narub yang terletak di hulu Dalat mempunyai potensi cukup besar dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan baharu.
Menurutnya, dengan dihuni 292 penduduk, kampung tersebut kaya dengan khazanah alam semulajadi, penceritaan kisah dan budaya masyarakat Melanau yang dapat diangkat sebagai tarikan segmen ekopelancongan.
“Dari segi keaslian kampung ini, ia mempunyai sungai, kemudian masih ada hutan yang menghijau dan di sinilah saya melihat dari segi kecantikan dan potensi kampung ini.
“Kita boleh buat satu aktiviti iaitu jungle trekking, orang datang ke sini untuk buat jungle trekking. Kemudian ada lagi penceritaan yang dikatakan ada tempat yang ada kaitan dengan getah, kemudian budaya setempat, cara hidup orang Melanau di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jangkauan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak di Kampung Narub, Dalat pada Isnin.
Fatimah turut merasmikan Tebingan Sungai Baharu Kampung Narub yang akan memudahkan urusan logistik, aspek keselamatan warga terutama dalam urusan pengangkutan serta aktiviti harian.
Antara intipati program jangkauan KPWK Sarawak di Kampung Narub, Dalat termasuklah penyerahan Kenyalang Gold Card kepada warga emas, bantuan kepada keluarga yang memerlukan serta pemeriksaan kesihatan.-TVS