Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah mendapat kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Disember ini. Foto fail Bernama

Dewan Rakyat: Pindaan Akta 588 dijangka dibentang bulan depan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah mendapat kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Disember ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dalam cadangan pindaan ini, evolusi teknologi serta peningkatan penggunaan dan kebergantungan terhadap teknologi telah diambil kira bagi menangani ancaman dalam dunia siber.

“Ini termasuk isu penyebaran maklumat palsu melalui platform dalam talian yang menyebabkan kemudaratan kepada pengguna,” jelasnya ketika menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai rancangan kementerian untuk menggubal undang-undang yang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan perkembangan zaman berkaitan penyebaran maklumat palsu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, kerajaan juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dalam waktu terdekat yang bertujuan untuk mengekang jenayah di media sosial, termasuk penyebaran berita palsu.

Di samping itu, katanya, Pasukan Tindakan Khas Menangani Berita Palsu dan 3R (kaum, agama, dan raja) turut ditubuhkan dengan melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai jabatan dan agensi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penerangan, RTM, dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Sementara itu, Teo menyatakan bahawa sebanyak 21,156 kandungan palsu telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial sejak 2022 hingga 15 November lalu, dengan tindakan tersebut diambil berdasarkan penilaian dan pertimbangan penyedia platform menurut standard komuniti yang ditetapkan.

“Bagi penguatkuasaan, sebanyak 198 kes yang melibatkan elemen palsu telah disiasat dan daripada jumlah tersebut, lima kes telah didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan dijatuhkan hukuman,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai peningkatan akaun palsu, Teo berkata, salah satu cadangan pindaan Akta 588 adalah untuk memperkenalkan seksyen baharu bagi memperkukuhkan penguatkuasaan.

“Kami percaya dengan adanya seksyen ini, jika diluluskan oleh Dewan Rakyat, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diberikan kuasa untuk meminta penyedia platform media sosial mendedahkan data pengguna akaun tersebut dan ini akan mempermudah lagi siasatan oleh pihak PDRM,” tambahnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa adalah penting bagi penyedia platform media sosial seperti Meta, ByteDance dan Google untuk memperketatkan lagi garis panduan dalam membuka akaun baharu, seperti mewajibkan pengguna untuk memasukkan nombor telefon mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan