SHAH ALAM, 24 Ogos: Tindakan seorang wanita melakukan eksperimen sosial dengan menikmati hidangan di restoran walaupun belum lengkap divaksin dan memuat naik tindakan berkenaan di media sosial membawa padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pasangan berkenaan ditahan pada pukul 5 petang semalam.
“Seorang pemilik Facebook bernama Mujaheeda Soleha didapati telah memuat naik kenyataan berkisah tentang eksperimen sosialnya masuk ke beberapa kedai dan gambar makan secara dine-in bersama anak dan suaminya walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin.
“Pemilik akaun itu juga memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini. Beliau memberitahu, pasangan suami isteri yang masing -masing berusia 36 dan 35 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap agar orang ramai sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Sejak semalam, tular satu tangkap layar dari akaun Facebook dipercayai milik wanita berkenaan sedang menguji sama ada boleh masuk ke kedai serta makan di restoran tanpa melengkapkan dos suntikan seperti ditetapkan kerajaan. – TVS.