KUALA LUMPUR, 25 Nov: Jenazah komposer terkenal muzik tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab, 92 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (Kuala Lumpur-Karak) sekitar 11 pagi ini.
Terdahulu jenazah disolatkan di Surau Al-Tarbiah Al-Islamiah Taman Melewar, kira-kira jam 10 pagi.
Selain ahli keluarga dan kenalan rapat, beberapa rakan artis turut meluangkan masa menziarahi jenazah termasuk Penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang, Datuk ND Lala, Ramlah Ram serta penulis Lukhman S.
Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 3.15 petang Ahad akibat sakit tua.
Untuk rekod, Allahyarham telah menghasilkan lebih 200 album artis tempatan dan Indonesia antaranya Uji Rashid, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sudirman Arshad dan Ramlah Ram.
Allahyarham juga dianugerahkan pengiktirafan sebagai Seniman Negara pada 2006 atas jasa dan sumbangannya dalam industri muzik. -TVS