DALAT, 24 Nov: Kerjasama dan kesepakatan antara pemimpin dengan rakyat merupakan formula kejayaan pembangunan serta kemajuan holistik sesebuah kawasan, kata Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau berkata, perpaduan dan kesatuan antara pemimpin drngan rakyat amat penting kerana tanpanya asas kepercayaan ini, maka banyak perkara khasnya pembangunan di kawasan seperti di Dalat tidak dapat dilaksanakan.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berjaya merealisasikan pembangunan holistik daerah itu dengan sokongan serta dukungan warga setempat demi generasi kini dan masa hadapan.
“Saya melihat Dalat dan Kompleks Kebajikan Dalat (KKD) ini sebagai cerminan minda pemimpin di kawasan ini yang begitu teratur dan berstruktur, lantas ia memcerminkan pembangunan di kawasan ini.
“Jadi, kita mara ke hadapan dengan lebih tinggi, sama ada dewan (Dewan Undangan Negeri) kita, landskap politik kita, ekonomi kita, diri kita, kawasan dan khazanah kita secara teratur dan terkawal untuk zuriat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.56 Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan yang holistik di kawasan DUN Dalat merupakan hasil kerjasama tanpa jemu warga Dalat.
“Perpaduan itu sangat penting, bersatu-padu, sokong-menyokong antara satu sama lain. Perpaduan, kerjasama dan solidariti dalam kalangan ahli parti kita adalah kunci kejayaan kita selama ini.
“Dengan perpaduan, kita akan dapat menyatukan suara kita, kita akan dapat mencapai matlamat yang kita sama-sama inginkan dan menjadikannya satu realiti,” ujarnya.
Seramai lebih 1,000 ahli PBB DUN Dalat hadir pada mesyuarat perwakilan tersebut.
Hadir sama Penolong Bendahari Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti PBB Datuk Dr. Ripin Lamat.-TVS