JAKARTA, 24 Nov: Empat sekeluarga maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Harang Julu, Padang Lawas, Sumatera Utara pada Sabtu.
Mereka terdiri daripada Hermandianto,40, Lila Siregar,32, Azra,7, dan Dwi,5.
Menurut Ketua Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Medan, Mustar, kesemua mangsa berjaya ditemui dan dikeluarkan selepas operasi mencari tertumpu di rumah itu.
“Tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan dua rumah dan tiga kedai tertimbus di situ dan itu menjadi tumpuan pasukan mencari dan kita berjaya menemui kesemua mangsa yang maut,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan bantuan penduduk setempat dan agensi terbabit.
Sementara itu, tiga lagi mangsa cedera dan pencarian masih dijalankan bagi mengesan jika ada mangsa tertimbus.-TVS